Suamiku Si Pemalas


Semalam aku ada menaip satu nukilan tetapi entah kenapa tiba-tiba tersalah tekan lalu ia hilang. Mungkin kerana takdir untuk menulis adalah posting ini; berkenaan suamiku si pemalas.

Kenapa aku menulis posting ini?
Kerana acapkali aku di beritahu yang suamiku seorang yang pemalas. Jadi harini ingin sekali aku ceritakan tentang kemalasan suamiku.

Waktu aku mula mengenali suamiku, dia adalah seorang pemandu lori dengan pendapatan RM1100 sahaja. Aku kahwini dia sebelum masuk tahun kedua pengajian ijazah di UIA.

Pernah sahaja aku menemani dia memandu lori menghantar barang-barang pertanian. Dari dalam lori dapatku melihat dia membanting tulang memikul baja yang besarnya lebih kurang saiz badannya sahaja. Bukan satu guni, malah berpuluh-puluh guni, di bawah terik mentari.

Kami dikurniakan anak pertama pada 2007. Oleh kerana aku perlu menyambung pengajian, suamiku mengambil keputusan untuk menjaga anak sulung kami semasa itu. Siang bekerja memandu lori dan malam menjaga anak.

Setiap kali aku melahirkan anak, suamiku lah yang menjaga aku. Masak, mandikan anak-anak dan juga mengemas rumah. Sejak tahun 2013, kerja masak-memasak mula dipikul olehnya. Anak-anak pun banyak dijaga olehnya berbanding aku. Ini kerana tugas mencari nafkah masa itu berpindah padaku semasa membuat bisnes website.

Kami sudah saling memahami tugas masing-masing. Bukan dia tidak mahu bekerja, namun kami tiada kenderaan masa itu, dan kebanyakan kerja memerlukan dia mempunyai kenderaan (ada satu kereta Savvy tapi asyik rosak dari mula beli lagi) . Bisnesku pula berasaskan online, jadi boleh dilakukan dari rumah sahaja.

Walaupun terpaksa menjadi Mr Mama, suamiku jarang merungut. Cuma kadangkala ada juga pergaduhan kecil bila dia penat dengan karenah anak-anak. Dia suka dengan hidupnya bersama anak-anak. Tidur pun mesti ada sahaja anak yang dipeluknya.

Sekarang dia mempunyai tugas juga sebagai tukang masak dan peniaga kiosk di tempat aku belajar. Bayangkan, menjaga anak, dan memasak serta berniaga. Tambahan sekarang aku kini perlu berada di Putrajaya untuk research, jadi tugasnya penuh menjaga 5 orang anak.

Suamiku ini, bila pulang ke kampung dia jarang tidur siang atau melepak bersama kawan-kawan di kedai kopi. Dia akan sibuk menyapu kawasan rumah, menebas dan meracun semak samun di sekeliling rumah. Bila kami menumpang di rumah sesiapa, dia akan rajin masuk ke dapur dan disayangi oleh makcik-makcik kerana kerajinannya.

Semasa abah dijaga oleh kami, suamiku lah yang memandikannya dan menolongnya bangun setiap pagi. Anak-anakku semuanya dialah yang memandikan, pakaikan baju dan jalin rambut mereka. Lencana sekolah pun lagi cantik dia jahitkan dari aku sendiri.

Pernah dia bercerita ada sahabat yang berkata padanya:
"Kesian aku tengok kau Nan, jaga anak-anak".
Jawapannya pada sahabatnya itu dia elok dan bahagia sahaja dengan kehidupannya. Namun dari sudut pandang seorang lelaki lain, mungkin mereka melihat seolah suami itu sengsara kerana mengambil alih tugas seorang isteri.

Ada juga yang waktu dia menyidai kain di kampung , menegurnya Begini:
"Oh dah jadi orang perempuan ya Nan?"
Nasiblah suamiku itu bukan selancang aku. Dia senyum aja dan terus menyidai kain.

Kak Lin, tadi kata suami Kak Lin pemalas,ni cerita yang baik-baik jer pasal dia?

Mesti itu yang ada di dalam pemikiran sesetengah dari kamu bukan?

Ya suamiku pemalas.
Dia sangat malas.
Dia MALAS PEDULI apa orang kata pada dia.
Oleh kerana "kemalasan" dia untuk mengambil kata-kata orang di sekeliling kami, dia terus sahaja berbakti menjadi seorang suami dan ayah kepada anak-anak kami.

Seorang lelaki, tidak dikatakan pemalas jika
Tidak menolong isteri di dapur.
Tidak menolong menguruskan anak-anak
Tidak menolong membersihkan rumah,
Selagi dia "Bekerja sebagai lelaki".
Maksudnya, apa-apa kerja mencari nafkah di luar rumah, yang menampakkan usaha mereka bekerja.

Namun, seorang lelaki dikatakan pemalas bila dia mengambil tugas isterinya walaupun dia dan isterinya saling memahami kenapa tugas itu bertukar tangan.

Walaupun nampak seperti ianya satu "swap", hakikatnya kerja rumah seperti pengurusan pakaian, mendidik anak-anak dan mencari nafkah masih dikongsi, cuma mungkin ada yang lebih dan kurang tanggungjawab di antaranya.

Posting ini kunukilkan buat mereka yang mengalami situasi yang sama seperti kami. Ia juga buat menjawab soalan #makcikbawang yang suka bersangka-sangka. Jadilah manusia yang rajin membuat kerja, bukan rajin membuat cerita. Biarlah orang kata kita malas asal Tuhan tahu betapa kita sudah usaha sedaya upaya.

Syurga itu tempat untuk lelaki dan wanita. Sama juga neraka. Kau pilihlah yang mana kau suka.

Semoga bermanfaat dan mohon jika sahabat dapat
#Like, #Komen atau #Share agar mesej ini sampai kepada lebih ramai lagi sahabat kita di luar sana.

-Kak Lin-
Malas peduli apa orang kata.
#TheStoryOfElin

Post ini diambil dari FB Kak Lin: https://www.facebook.com/kaklin.rufaydah/posts/234354400425423?hc_location=ufi

Comments

Popular posts from this blog

The gifts from Allah

Kasih dan Sayang

Leaving Facebook to see the world